@KiRa$ bLoG....

@KiRa$ bLoG....

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 18 April 2012

RIBA...??? DAN HIKMAT PENGHARAMAN RIBA..!!


RIBA......APA YANG DIKATAKAN RIBA...???

Secara amnya ,kita memahami riba ini adalah satu bentuk dimana orang yang berhutang perlu membayar hutangnya dengan kadar yang lebih daripada apa yang dihutangkan. Seperti ramai yang sedia maklum, di sisi agama Islam, Riba merupakan antara perkara yang ditegah dan diharamkan di dalam agama. Oleh itu, kali ini ingin saya kongsi bersama anda semua mengenai definsi riba itu sendiri, hukumnya, serta jenis-jenisnya.

               Definisi Riba
Dari segi bahasa, riba boleh ditakrifkan sebagai tambahan ataupun di dalam bahasa arab ziyadah. Dari sudut istilah, terdapat berbagai-bagai takrif yang telah dikeluarkan ulama. Walaupun terdapat sedikit perbezaan, secara dasarnya adalah sama. Menurut Ibnu al-Arabiy, Riba didefinisikan sebagai semua tambahan yang tidak disertai dengan adanya pertukaran kompensasi. Imam Suyuthi pula dalam Tafsir Jalalain menyatakan Riba adalah tambahan yang dikenakan di dalam muamalah, wang, makanan, baik dalam bentuk kadar mahupun waktu.
Daripada dua takrifan yang dibuat oleh ulama disini, bolehlah kita fahami bahawa riba ini merupakan satu bentuk eksploitasi di dalam transaksi di mana satu pihak itu telah dizalimi kerana dikenakan tambahan di dalam transaksi tersebut tanpa mendapat apa-apa balasan atau kompensasi. Oleh itu kefahaman kita mengenai hutang yang perlu dibayar lebih dari pokoknya adalah bertepatan dengan definisi ini. Ini adalah kerana, apabila seseorang itu meminjam, mengapa dia perlu membayar lebih daripada apa yang dipinjam? Lebihan itu merupakan eksploitasi yang dikenakan oleh orang yang memberikan pinjaman ke atas orang yang berhutang. Selain itu, terdapat lagi bentuk riba yang lain. Mari kita lihat bahagian-bahagian riba yang dipecahkan oleh ulama.

Jenis-Jenis Riba
Secara umumnya, Riba boleh dibahagikan kepada 2 jenis; Riba al-Fadhl dan Riba an-Nasii`ah. Walaubagaimanapun, terdapat juga cendiakawan yang membahagikan riba kepada 4 jenis iaitu; Riba al-Fadhl, Riba an-Nasii`ah, Riba al-Qardh, dan Riba al-Yad.

Riba an-Nasii`ah
Riba Nasii`ah adalah tambahan yang diambil karena penundaan pembayaran hutang di mana hutang itu sepatutnya dibayarkan pada tempoh yang tertentu, akan tetapi dilewatkan pembayaran hutang kepada tempoh yang baru. Misalnya, Adli berhutang dengan Ismail sebanyak RM 100 dan berjanji akan membayar hutang RM 100 itu dalam tempoh sebulan akan datang. Akan tetapi, apabila genap tempoh sebulan itu, Adli tidak mampu membayar hutangnya dan meminta untuk dilewatkan sedikit waktu membayar hutangnya. Oleh kerana penangguhan itu, Ismail meminta Adli membayar RM 120 kepadanya. RM 20 ini merupakan tambahan akibat kelewatan pembayaran hutang tersebut dan dikenali sebagi Riba an-Nasii`ah.

Riba al-Qardh.
Riba al-Qardh adalah meminjamkan wang kepada seseorang dengan syarat ada kelebihan atau keuntungan yang harus diberikan oleh peminjam kepada pemberi pinjaman. Maksudnya, jika Ahmad meminjamkan Ali RM 2000, dia meminta Ali membayar semula RM 2300. Riba an-Nasii`ah dan Riba al-Qardh secara dasarnya sama, akan tetapi perbezaannya ialah Riba an-Nasii`ah berlaku apabila si penghutang lambat membayar hutang, manakala Riba al-Qardh berlaku sama ada si penghutang lambat membayar hutang mahupun membayar hutang pada waktunya.

Di antara hadis yang melarang pengambilan Riba al-Qardh ialah;
Imam Bukhari dalam “Kitab Tarikh”nya, meriwayatkan sebuah Hadis dari Anas r.a bahwa Rasulullah s.a.w telah bersabda,  

“Bila ada yang memberikan pinjaman (wang mahupun barang), maka janganlah ia menerima hadiah (dari yang meminjamkannya)”.[HR. Imam Bukhari]

Hadis di atas menunjukkan bahwa peminjam tidak boleh memberikan hadiah kepada pemberi pinjaman dalam bentuk apapun, lebih-lebih lagi jika si peminjam menetapkan adanya tambahan atas pinjamannya.

Riba al-Fadhl
Riba al-fadhl adalah riba yang diambil dari kelebihan pertukaran barang yang sejenis iaitu seperti apa yang disebutkan dalam hadis; emas, perak, gandum, barley, tamar, dan garam. Dalilnya dari hadis yang diriwiyatkan oleh imam Muslim;

Maksudnya: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan berli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, sejenis dengan sejenis, setara dengan setara, dan dan secara spontan. Apabila jenisnya berbeza, juallah sesuka hatimu jika dilakukan dengan spontan”.HR Muslim dari Ubadah bin Shamit r.a

Menurut hadis di atas, apabila melakukan transaksi dalam komoditi-komoditi di atas, hendaklah kita melakukannya tanpa ada tambahan dari mana-mana belah pihak, bererti sama timbangan dan kadarnya serta pertukaran tersebut dilakukan on the spot sekiranya dua barang yang ditukarkan itu sama jenisnya. Sekiranya berlainan jenisnya akan tetapi masih dalam kategori di atas, hendaklah pertukaran dilakukan secara on the spot sahaja tanpa perlu mengikut syarat-syarat persamaan dari kadarnya.

Walaubagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam menentukan komoditi yang tertakluk dengan syarat pertukaran sama kadar dan secara spontan.  
  • Ulama Zahiri berpendapat komoditi yang tertakluk adalah hanya 6 komoditi yang disebutkan dalam hadis. Manakala mazhab fiqh yang lain berpendapat, pengharaman riba ini bukan tertakuluk kepada 6 komoditi itu sahaja, akan tetapi apa-apa sahaja komoditi yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan 6 komoditi tersebut.  
  • Ulama Maliki berpendapat pertukaran yang tidak sama nilainya antara emas dan emas serta perak dengan perak adalah dilarang kerana ianya termasuk dalam kategori wang (medium pertukaran). Mereka juga berpendapat komoditi yang tertakuluk kepada riba al-Fadhl ini adalah mana-mana komoditi makanan yang boleh disimpan berdasarkan analogi yang diambil daripada hadis.
  • Ulama Syafie dan Hambali bersependapat dalam hujah ulama Maliki mengenai emas dan perak akan tetapi tidak bersependapat dalam hal komoditi-komoditi lain yang mana Ulama Maliki menegaskan komoditi makanan yang boleh disimpan termasuk dalam komoditi yang berkaitan dengan riba al-Fadl. 
  • Ulama Hanafi berhujah bahawa komoditi-komoditi yang boleh terlibat dengan riba al-Fadhl tidak hanya tertumpu dengan apa yang disebut di dalam hadis, akan tetapi boleh dikembangkan kepada semua komoditi yang kebiasaannya dijual menggunakan ukuran dan timbangan.
Riba al-Yadd
Riba al-Yadd ialah riba yang berlaku akibat penangguhan dalam pertukaran barang-barang. Contoh bagaimana riba ini berlaku ialah apabila Yusof menjual kereta kepada Syahmi. Mereka telah berakad bahawa Yusof menjualnya dengan harga RM 30 ribu. Mereka berdua berpisah dari majlis akad dan Syahmi telah menangguhkan pembayaran. Apabila Syahmi ingin membayar hutang pembelian kereta tersebut kepada Yusof, Yusof telah minta RM 32 ribu daripadanya, lebih daripada apa yang telah dipersetujui dalam akad.

Hukum Riba
Sudah Jelas bahawa Riba ini, tidak kira mana-mana jenis riba pun telah diharamkan oleh Allah s.w.t. Ini boleh dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 275;

Maksudnya: Dan Allah telah menghalakan jual beli dan mengharamkan riba(275)

Allah s.w.t juga telah berfirman di dalam surah al-Baqrah ayat 276 dan 278;

Maksudnya: Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah, dan Allah tida menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.(276)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum diambil) jika kamu orang-orang yang beriman.(278)

Allah s.w.t juga telah mengisytiharkan perang terhadap orang yang mengamalkan riba di muka bumi ini melalui firmannya di dalam surah al-Baqarah ayat 279;

Makusdnya: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.(279)

Hendaklah kita jelas bahawa pengharaman riba ini bukan sahaja terhadap orang yang mengambil riba sahaja, bahkan orang yang memberi riba juga dihukumkan berdosa. Ini adalah kerana, mengikut salah satu kaedah umum fiqh iaitu ‘Apa yang haram diterima haram juga untuk diberi’.

Riba Masa Kini
Aktiviti Riba masa kini cukup berleluasa dalam masyarakat moden. Ini adalah kerana sistem kewangan konvensional yang bertapak kukuh di dunia pada hari ini adalah berdasarkan sistem riba. Di Malaysia, keterlibatan secara langsung di dalam aktiviti riba seperti membuat pinjaman dengan bank konvensional, menyertai aktiviti pelaburan yang beunsurkan riba seperti Swish Cash dan banyak lagi haruslah dielakkan dan dijauhkan sama sekali. 
**************************************************
 HIKMAT PENGHARAMAN RIBA 

Islam mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat. Riba merupakan penindasan dan pemerasan setengah orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin. Setengah-setengah orang menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya sama-sama mendatangkan keuntungan. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Kedua-dauanya jauh berbeza. Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat.

Walaupun ia mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian, kadang-kadang mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian. Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana ianya sekali-sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.

Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak-pajak gadai secara riba telah kehilangan kebun getah, tanah padi dan sebagainya kerana tidak sanggup membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest) yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka. Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-linang. Pendeknya perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat. Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah. Firman Tuhan :

Ertinya :

Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, yang demikian kerana mereka berkata : jualbeli itu seperti riba, dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.

Dari huraian di atas, dapat ditarik beberapa kesimpulan seperti berikut :


1. Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.

2. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.

3. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.

4. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.

5. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.

Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.

Tiada ulasan: